Monday, January 04, 2010
BAHAGIAN SYUKUR
Di kata mereka itu bahawasanya syukur itu atas tiga bahagi iaitu;
• Syukur pada hati dan;
• Syukur pada lisan dan;
• Syukur pada segala anggota.
Maka syukur pada hati itu iaitu diketahui bahawasanya segala ni'mat itu daripada Allah Taala dan; Syukur pada lisan itu iaitu membanyak puji atas Allah Taala dengan lisannya dan masuk dalamnya itu menyebut-nyebut pada segala ni'mat dan menzhohirkan dia.
Keterangan Suluk
Pembahagian syukur kepada tiga jenis seperti yang tersebut di atas adalah sebagai satu usaha untuk memperincikan lagi bahagian-bahagian syukur yang perlu diamalkan oleh seorang yang benar-benar "tahu" bersyukur dengan ni'mat pemberian Allah.
Berkenaan dengan syukur pada hati; ianya dimaksudkan kepada seorang yang punya ilmu dan kesedaran tentang kehadiran ni'mat yang dilmpahkan ke atasnya. Seorang yang jahil dengan rupa atau wajah-wajah ni'mat yang berbagai-bagai manakan mungkin dapat bersyukur. Umpamanya seorang yang sentiasa celik dan punya penglihatan mata yang cerah semenjak dari dilahirkan lagi, manakan mungkin dia bersyukur sekiranya beliau tidak punya "ilmu yang mengesahkan" bahawa penglihatannya yang ada padanya itu adalah anugerah ni'mat Allah yang besar kepadanya. Berbeza dengan seorang yang dilahirkan dengan buta, tetapi tiba satu masa, matanya tiba-tiba celik dan dapat melihat pebagai keindahan alam ini. Bayangkan betapa gembiranya dia. Mendapat cahaya setelah lama berada dalam kegelapan. Tetapi kesukaan dan kegembiraan itu tidak akan bermakna sekiranya dia tidak kenal Allah, tidak sedar bahawa Allah lah yang mengurniakan penglihatan itu. Dengan itu, hanya mereka yang punya ilmu dan kesedaran tentang Keagungan dan Kebesaran Allah sahajalah yang dapat melaksanakan hakikat syukur pada hati ini.
Demikianlah apa yang telah berlaku kepada mereka yang diberikan cahaya makrifat setelah lama berada dalam gelap kejahilan. Dengan cahaya makrifat ini, mereka terlepas dari belenggu kejahilan, persekutuan dan pensyirikan kepada Allah serta dapat meletakkan sesuatu perkara itu pada tempat yang hak dan hakikatnya. Dengan cahaya makrifat yang sentiasa menerangi jiwa mereka, maka sentiasalah mereka bersyukur kepada Allah yakni dengan sentiasa memandang limpah kurnia Allah yang tidak putus-putus ke atasnya. Inilah perinciaan berkenaan dengan syukur pada hati iaitu sentiasa ingat, sentiasa sedar, sentiasa memahami, sentiasa mengerti dan sentiasa memandang kepada Yang Memberi Ni'mat.
Berkenaan dengan syukur pada lisan pula, ianya adalah hasil atau natijah kepada hati yang punya kesedaran akan kebaikan Allah terhadapnya, yang merubahkan hal qalbunya lantas menjalar kepada anggota badan terutamanya mulutnya yang sentiasa basah dengan puji-pujian terhadap Allah yang terjelma melalui pelbagai wirid dan zikir seperti tahmid, takbir, tasbih dan pelbagai bentuk puji-pujian yang lain terhadap Allah.
Termasuk dalam jelmaan syukur pada lisan ini ialah seorang yang sentiasa memuji-muji di hadapan manusia-manusia lain; membilang-bilang ni'mat Allah dengan tiada kehinggaan; mengajak manusia untuk sama-sama bersyukur dan menzhohirkan kesyukuran itu melalui ibadat dan majlis-majlis ilmu yang bertujuan untuk mengajak manusia supaya taat dan patuh kepada Allah Taala.
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan daripada syukur lisan pula, syukur kepada segala wasitoh dengan memuji atas mereka itu dan mendoakan bagi mereka itu.
Dan dalam hadis Nu'man bin Basyir r.a., bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda;
"Barangsiapa tiada syukur akan yang sedikit, nescaya tiada syukur akan yang banyak, dan barangsiapa tiada syukur akan manusia, nescaya tiada syukur akan Allah Taala".
Dan ceritera daripada Asaman bin Zaid r.a., sabda Rasulullah SAW.;
"Syukur manusia itu bagi Allah [ialah] syukur mereka itu bagi manusia".
Keterangan Suluk
Melanjutkan keterangan berkenaan dengan bahagian syukur lisan, Tok Pulau Manis menegaskan bahawa sebahagian daripada pengertiaannya ialah bersyukur kepada segala wasitoh. Mengikut keterangan guru suluk, bersyukur kepada segala wasitoh adalah bermaksud menghargai dan berterima kasih kepada mereka(manusia) yang banyak menabur jasa dan bakti kepada kita tanpa diminta dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Mereka yang dimaksudkan ialah seperti ibu-bapa kita, para guru dan Rasulullah SAW. Di samping memuji-muji dan mengagung-agungkan jasa kebaikan mereka, kita juga dituntut agar sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan untuk mereka.
Kenyataan tersebut dipertegaskan lagi dengan mendatangkan hadis Rasulullah SAW. yang intipati maksudnya menjelaskan;
• Barangsiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, nescaya tidak akan bersyukur kepada yang banyak;
• Barangsiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, nescaya tidak akan bersyukur kepada Allah Taala.
Mereka yang meremehkan kelebihan zikir dan wirid yang sedikit tetapi istiqamah, bukanlah termasuk dari kalangan mereka yang sanggup untuk bersyukur kepada yang banyak.
Seorang yang tidak membesarkan dan memuliakan thoriq dan syariat yang di bawa oleh Rasulullah SAW; manakan mungkin tahu untuk mendapat kemulian jalan hakikat dan makrifat. Bercakap berdegar-degar berkenaan dengan hakikat dan makrifat, tetapi syariat dan thoriq perjalanannya tunggang-langgang, bukanlah termasuk ke dalam golongan manusia yang mencapai kesempurnaan hakikat kerana meninggalkan adab dalam bersyukur.
Membelakangkan guru dan ibu-bapa dalam sesuatu urusan dunia atau akhirat, bukanlah termasuk ke dalam mereka yang tahu bersyukur kepada manusia. Bila sudah tidak tahu bersyukur kepada manusia(ibu-bapa, guru-guru dan syariat Rasulullah SAW., maka camkanlah, orang yang tersebut adalah mereka yang tidak bersyukur kepada Allah. Demikianlah sebahagian makna yang dapat difahami dari keterangan "Syukur manusia itu bagi Allah [ialah] syukur mereka itu bagi manusia".
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan syukur segala anggota itu bahawa mengerjakan dengan dia amal yang sholeh; dijadikan amal itu akan syukur.
Dan bertanya seorang lelaki kepada Aba Hazim r.a.;
Katanya baginya(Aba Hazim); Mana syukur dua mata?
Maka kata katanya(Aba Hazim); "Apabila kamu melihat dengan kedua mata akan kebajikan, maka engkau nyatakan dia; dan apabila engkau melihat dengan kedua mata itu akan kejahatan, maka engkau tutup akan dia".
Keterangan Suluk
Keterangan selanjutnya adalah dijuruskan kepada perinciaan bahagian syukur yang ketiga, iaitu Syukur segala anggota. Berkenaan ini, didatangkan jawapan Aba Hazim sebagai memaksudkan makna yang berkaitan dengannya. Nyatakan kebaikan yang dilihat dengan mata ialah memaklumkan dan menyebarkan kebaikan-kebaikan yang dilihat oleh kita. Umpamanya dilihat bahawa di suatu tempat tertentu, ada seseorang guru yang ikhlas sedang mengajar dan mendidik manusia ramai supaya kembali ke jalan Allah, maka hendaklah kita panjangkan kebaikan itu dengan menyebarkan kepada rakan-rakan, jiran-jiran dan saudara-saudara kita yang lain, agar mereka dapat sama-sama mengambil kebaikan dan manfaatnya di sana.
Sebaliknya apabila dilihat sesuatu keburukan atau kejahatan saudara-saudara atau jiran-jiran kita, maka janganlah jadi seperti wartawan bebas yang mewar-warkan kejahatan itu. Sebaliknya kita duduk diam-diam dan mendaokan agar mereka diberikan petunjuk untuk kembali bertaubat dan merujuk kepada Allah.
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata katanya(seorang lelaki); Mana syukur dua telinga?
Katanya (Aba Hazim); "Apabila kamu mendengar dengan kedua telinga itu akan kebajikan, maka engkau dengarkan akan dia, dan apabila engkau mendengar akan kedua telinga akan kejahatan, maka engkau tanamkan dia".
Keterangan Suluk
Syukur dua telinga ialah dengan menggunakannya untuk mendengar sesuatu yang bermanfaat dan kebajikan; seterusnya memanjangkannya kepada saudara-saudara kita yang lain. Sebaliknya apabila mendengar sesuatu yang keji dan jahat seperti fitnah dan umpatan, maka hendaklah kita menjauhkan diri dan menyembunyikan apa yang terdengar tadi dari diketahui oleh orang lain.
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata katanya(seorang lelaki); Mana syukur pada kedua tangan?
Katanya (Aba Hazim); "Jangan engkau ambil akan kedua tangan itu akan barang yang tiada bagimu dan jangan engkau tegahkan haq iaitu bagi Allah Taala dalam keduanya".
Keterangan Suluk
Syukur pada kedua tangan ialah memeliharanya daripada mengambil sesuatu yang haram dan bukan dari milik kita. Termasuknya juga pengertian di sini tidak menggunakan jawatan dan kuasa serta pengaruh yang dimiliki bagi mengambil sesuatu dengan jalan yang salah. Ini adalah kerana kedua tangan, mengikut pengertian ahli makrifat adalah lambang kepada kuasa yang ada pada seseorang. Dengan kerana itu, hendaklah digunakan keupayaan, kemampuan, pengaruh dan kekuasaan yang ada di atas jalan yang hak yakni yang boleh mendekatkan kepada Allah Taala.
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata katanya(seorang lelaki); Mana syukur pada perut?
Maka katanya (Aba Hazim); "Adalah di bawahnya sabar dan di atasnya Ilmu".
Keterangan Suluk
Di bawahnya sabar yang dimaksudkan ialah menahan diri dan bersabar daripada memasukkan sesuatu yang haram, manakala di atasnya Ilmu bermaksud menggunakan pertimbangan ilmu syarak dalam menentukan sesuatu yang boleh dan tidak boleh untuk dimakan dan diminum.
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata katanya(seorang lelaki); Mana syukur pada faraj?
Maka katanya (Aba Hazim); "Seperti firman Allah Taala; Bermula mereka itu(mu'min) itulah bagi faraj mereka itu dipeliharakan mereka itu melainkan atas segala isteri mereka itu atau yang dimilik(hamba) mereka itu. Maka bahawasanya tiada kecelaan.
Keterangan Suluk
Syukur pada faraj ialah memeliharanya dari melakukan hubungan seks kecuali kepada isteri yang sah serta hamba sahaya yang dimiliki secara benar.
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata katanya(seorang lelaki); Mana syukur pada dua kaki?
Maka kata (Aba Hazim); "Maka jikalau engkau lihat akan seuatu yang memberi kebajikan, maka engkau kerjakan akan dia atasnya; dan jikalau engkau lihat akan suatu yang memberi kejahatan, maka engkau tegahkan keduanya daripada mengerjakan dia. Dan hendaklah engkau syukur bagi Allah Taala.
Keterangan Suluk
Syukur pada kedua kaki pula ialah dengan menggunakannya untuk pergi ke tempat-tempat majlis ilmu, majlis zikir, mencari rezeki yang halal, menziarahi sanak-saudara, guru-guru dan sahabat handai, mereka yang terlantar sakit serta apa sahaja yang dituntut oleh syarak. Segala tempat maksiat yang dikutuk oleh agama hendaklah dijauhi dan hendaklah dilakukan segala kebaikan yang tersebut di atas semata-mata ikhlas kerana Allah, bukannya kerana-kerana yang lain.
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Maka adapun orang yang syukur dengan lisannya dan tiada syukur pada segala anggotanya, maka umpamanya seorang lelaki baginya pakaian diambil pada ..........
Keterangan Suluk
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Pesanan Hari Ini
“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.”
(Hadis riwayat Muslim)
“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.”
(Hadis riwayat Muslim)
“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”
by Ahmad AlFateh
0 comments:
Post a Comment