Thursday, December 31, 2009

"DARI PORT DICKSON KE MONGOLIA"

| |
0 comments
KAJANG, 31 Dis: Zunar serta beberapa kartunisnya sedang menghasilkan sebuah buku kartun baru bertajuk 'Dari Port Dickson ke Mongolia' dan dijangka berada di pasaran pertengahan Januari 2010.

Produk baru mereka itu dihasilkan setelah dua produk sebelumnya, Gedung Kartun dan Perak Darul Kartun mendapat sambutan hebat dari masyarakat bukan sahaja di negara ini malah negara luar.

Berucap pada pelancaran buku Perak Darul Kartun peringkat negeri Selangor di stadium Kajang malam tadi, beliau memberitahu mereka akan mengeluarkan satu produk buku kartun setiap bulan bagi memenuhi tuntutan masyarakat.

"Bulan Januari ni kita tengah buat sekarang, ceritanya Dari Port Dickson ke Mongolia, adalah..siapa yang tahu..tahu lah ceritanya," katanya sinis.

Pelancaran tersebut dibuat pada 'Karnival Rakyat, Jom Halal' bersempena sambutan Jubli Perak Pas kawasan Hulu Langat yang sedang berlangsung bermula 25 Disember lalu hingga 3 Januari ini.

"Apa yang berlaku di Malaysia ini banyak sangat benda kartun contohnya, isu katak di Perak, enjin jet boleh hilang..dan kami cuma menterjemahkannya dalam bentuk ini," katanya kepada hampir satu ribu hadirin yang hadir.
Selain pelancaran Perak Darul Kartun, beberpa lagi persembahan pentas turut berlangsung malam tadi termasuk bacaan sajak oleh Piyan Habib dan nyanyian oleh Ito (Blue's Gang).

Perak Darul Kartun adalah komik terkini hasil karya terbaru Zunar bersama pasukan kartunisnya yang terdiri dari Ronasina (Mohd. Affandi Ramli), Jonos (Nor Azlin Ngah), Art (Azhar Saad).Orang-orang (Azlan Isa) dan Naza (Nazruddin Abu Bakar).

Ianya sebagai penerbitan berterusan syarikatnya Sepakat Efektif selepas permit penerbitan Gedung Kartun ditarik Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ogos lalu.

KDN juga bertindak menyerbu pejabat mereka dan berjaya merampas 408 naskhah Gedung Kartun termasuk plat percetakan.

"Mereka (KDN) boleh rampas majalah saya, buku saya, produk-produk saya, yang mereka tak boleh rampas, otak saya.

"Saya tetap akan melukis walaupun atas kertas tisu tandas," katnya ketika menceritakan kejadian rampasan pada hari ke tiga Ramadhan itu.

Perak Darul Kartun juga mempunyai ketebalan 80 muka surat tidak termasuk muka (dengan penambahan 12 muka surat berbanding Gedung Kartun) dengan harga pasaran RM10 senaskhah.

Bagaimanapun ianya hanya dijual dengan harga RM4 sempenan Karnival Rakyat berlangsung.

Turut menyumbang karya dalam komik tersebut adalah Haili, Oly, Roy, Enot, AJ, Warih, Kidol, Madsein, Kawe, Ubi Lepih, Nur, Fahmi dan Buzu.

Manakala penulis penyumbang/kolumnis ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, penulis, Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Rahmat Haron, Pusparos dan Benludin.

Seperti juga Gedung Kartun, PDK menampilkan karya-karya kartun dan rencana yang mengkritik pedas kebobrokan, salah-guna kuasa, rasuah  penguasa dengan sepuluh muka surat pertama ditumpukan kepada isu 'rampasan kuasa' di Perak oleh kerajaan BN.

Selain itu ianya juga memuatkan ruangan khas watak pemimpin negara bernama “Datuk Nazak”, slot “Negaraku” dan tiga muka surat karya Enot bertajuk “Nostalgia 98” yang mengimbas kembali sejarah ketika gelombang reformasi tercetus.

Ruangan “Selangor Tanahairku” diteruskan untuk memberi publisiti tentang dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat dengan pelbagai program kebajikan yang telah dijalankan.

"Kami tahu apa yang kami lukis, dan kami bukan pelukis upahan," tegasnya.
Read More
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Pesanan Hari Ini

“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.”

(Hadis riwayat Muslim)

“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.”

(Hadis riwayat Muslim)

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”

by Ahmad AlFateh