Pada dasarnya manusia dijadikan Allah dalam keadaan fitrah. Semasa
membesar pendidikan yang diterima berbeza-beza mengikut faktor
pendidikan yang diterima daripada ibu bapa dan keadaan persekitaran.
Faktor-faktor ini mengubah dan menjejaskan fitrah kemanusiaan. Amat
beruntunglah seseorang jika pendidikan dan tarbiyah yang diterima
berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Sebaliknya amat rugilah jika
amalan hidup bercanggah dengan kedua-dua peninggalan Nabi (Quran &
Sunnah).
Allah amat mengetahui keadaan ini. Justeru, diwajibkan berpuasa setiap
tahun bagi setiap individu sebagai satu cara untuk muhasabah, mengukur
dan memeriksa diri sejauh mana ketaatan telah dilakukan dan sejauh
mana kemaksiatan telah ditinggalkan. Introspeksi begini jarang dapat
dilakukan di luar bulan puasa. Sebagaimana kenderaan perlu di'overhaul'
setelah lama digunakan, begitulah manusia perlu di'overhaul' jasmani dan
rohaninya melalui amalan berpuasa. Bulan puasa dalam aspek ini
merupakan masa bagi umat Islam menjalani tarbiyah dan kursus
pembinaan jasmani dan rohani berlandaskan syariat Islamiah supaya
dapat menjalani hidup yang lebih sempurna pada masa hadapan.
Gangguan atau rintangan yang amat mencabar bagi setiap insan ialah
syaitan. Syaitan ialah musuh manusia yang utama. Tugas utama dan
'core business' syaitan tidak lain tidak bukan hanya untuk menyesatkan
manusia. Setiap detik kerjanya menjahanamkan manusia supaya akan
terjun ke neraka seperti mana dirinya yang tiada harapan langsung
masuk syurga. Dalam otaknya sudah disetkan begitu. Kita tidak perasan
musuh kita yang halus lagi ghaib ini memasang pelbagai strategi untuk
memukul kita, manakala kita pula asyik dilalaikan dengan pelbagai tugas,
kerja dan amalan harian lain hingga terlupa makhluk syaitan ini hendak
memerangkap kita. Nasib baiklah kita ada Allah yang boleh kita minta
pertolongan.
Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan.
Selain berlapar atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga
dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan perkataan. Berlapar
dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan berjalan dalam
diri kita melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan tidak berpeluang
menjadikan pembuluhan darah kita sebagai lebuhrayanya. Telinga
dipuasakan dari mendengar yang haram, mulut dipuasakan dari
mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong
manakala mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau
diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak
langsung dapat peluang memeragkap kita di bulan ini. Tambahan pula
dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya pintu syurga dan ditutupkan
pintu neraka.
Pendek kata dalam bulan ini, kita mesti menghisab diri dan mengawasi
segala tindak laku kita supaya tidak mencemari amalan puasa. Nabi
sentiasa mengingatkan kita supaya jangan menyamakan bulan ini dengan
bulan-bulan lain. Mesti ada kelainannya kerana inilah keistimewaannya.
Jika anggapan kita Ramadan sama dengan bulan-bulan lain, maka
peruntukan pahala dan rahsia Ramadhan tidak akan kita perolehi dan
kecapi kelazatannya sama sekali.
Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh
Allah, kita digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan
amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengaji
ilmu agama, sembahyang terawih dan sebagainya. Amalan di bulan puasa
dibalas dengan gandaan pahala yang banyak.
Walaupun tidur orang puasa diberikan pahala, namun memperbanyakkan
tidur di waktu siang tidaklah digalakkkan sebagaimana tidak digalakkan
makan banyak pada waktu malamnya. Semasa berbuka memadalah
dengan makanan yang sederhana. Janganlah melampaui batas dalam
menyediakan makanan berbuka. Kita perlu mengingatkan diri kita tujuan
puasa ialah untuk melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa
berbuka kita penuhkan dengan pelbagai juadah, maka seolah-olah kita
melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna tujuan puasa
pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan positif. Oleh
sebab itu, Nabi saw pernah bersabda ramai orang berpuasa tidak dapat
apa-apa kecuali lapar dan dahaga.
Syaitan sangat suka sifat membazir malahan mereka yang membazir
dikatakan kawan syaitan. Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan
kuih-muih yang banyak untuk berbuka adalah membazir kerana semasa
berbuka hanya sebahagian yang kita makan; selebihnya dibuang saja.
Akhirnya dapat dibuat kesimpulan bulan puasa adalah bulan bagi umat
Islam membuat persiapan diri memperkuatkan benteng jasmani dan rohani
melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika kita dikalahkan oleh syaitan
dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insyallah kita akan menang
kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan yang mubarak
ini. Kemenangan ini seharusnya tidak dihadkan dalam bulan ini saja; ia
perlu dihayati seterusnya pada bulan-bulan berikutnya. Ingatlah kita
sedang menjalani kursus dan bengkel mujahadah sepanjang Ramadhan.
Budaya sepanjang kursus/bengkel mestilah diteruskan pada bulan-bulan
lain. Jika ini berjaya dilakukan barulah dikatakan objektif puasa ini
mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita lakukan semoga amalan kita
diterima oleh Allah.