Abu mayat ditabur ke sungai bagi hapus bukti pembunuhan
BANTING: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dipukul sampai mati, sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.
Keempat-empat mereka dipercayai diculik pada 30 Ogos lalu, dibunuh kemudian dibakar di kandang ternakan yang dikelilingi tembok di ladang kelapa sawit itu, manakala abu mereka dibuang ke Sungai Panchau, kira-kira dua kilometer dari tempat pembunuhan.
Polis mengesyaki motif pembunuhan ada kaitan dengan satu urus niaga tanah, selain hal kewangan.Misteri kehilangan Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, sejak 30 Ogos lalu terungkai selepas polis menahan lapan individu berusia 19 hingga 41 tahun, termasuk dua wanita sejak Jumaat lalu.
Mangsa dipukul hingga mati sebelum dibakar
Turut ditahan yang disyaki suspek utama, seorang peguam yang juga ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya, juga seorang peguam serta enam pekerja mereka. Semua mereka ditahan reman sehingga 18 September ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, mengesahkan semua suspek disyaki terbabit dalam pembunuhan empat mangsa itu dan menegaskan lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat.
“Mereka mengaku melarikan, memukul hingga mati dan membakar keempat-empat mangsa sebelum menabur abu mayat di sungai berhampiran dengan tujuan menghapuskan bukti, termasuk barangan peribadi mangsa dan senjata digunakan,” katanya.
Mohd Bakri berkata, walaupun tiada mayat ditemui, namun pengesahan dibuat berdasarkan pengakuan suspek yang ditahan.
Beliau berkata, selain pengakuan mereka, polis juga memperoleh petunjuk kukuh jutawan itu dan tiga rakannya adalah mangsa pembunuhan berdasarkan penemuan beberapa barangan peribadi milik mereka daripada suspek dan di tempat kejadian.
Ia termasuk penemuan seutas jam tangan mewah yang dipakai pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages itu ketika dilaporkan hilang daripada suspek utama.
“Hasil soal siasat suspek, mereka membawa polis ke pusat ternakan itu yang dikelilingi tembok di ladang kelapa sawit milik suspek utama di mana semua mangsa dibunuh.
“Pemeriksaan lanjut polis menemui tempat pembakaran, termasuk kesan dan bau kuat petrol, selain sisa pembakaran dipercayai sisa mayat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mohd Bakri sebelum itu meninjau lokasi tempat pembunuhan yang terletak kira-kira 18 kilometer dari pusat bandar Banting.
Dua suspek yang berpakaian lokap polis turut dibawa ke tempat kejadian pagi semalam bagi membantu siasatan.
Ketika diminta menjelaskan keadaan di tempat pembunuhan, Mohd Bakri berkata ia dikelilingi tembok, ada pokok kelapa sawit serta beberapa kandang kambing dan bangsal lembu.
“Orang luar tidak akan dapat lihat sekiranya apa-apa berlaku di sebalik tembok itu,” katanya.
Mohd Bakri juga mengesahkan polis turut menyiasat ‘Datuk’ itu mengikut Akta Pengubahan Wang Haram berikutan ada maklumat beliau memiliki kekayaan luar biasa yang disyaki diperoleh secara tidak sah.
Beliau berkata, pengesahan rasmi identiti semua mangsa hanya akan dibuat selepas mendapat laporan penuh pasukan forensik dan Jabatan Kimia yang masih mengumpul bukti, termasuk sisa mayat, abu dan tulang di tempat pembunuhan dan Sungai Panchau.
Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, masalah perniagaan yang turut membabitkan soal kewangan menjadi motif pembunuhan Sosilawati.
Sumber itu juga berkata, berlaku transaksi wang dari akaun Sosilawati kepada akaun salah seorang suspek ditahan sepanjang tempoh Sosilawati hilang.
“Suspek utama dipercayai bertindak sebagai broker dalam urus niaga tanah dan diperkenalkan kepada Sosilawati oleh seseorang yang rapat dengannya.
Link: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MisteriKehilanganSosilawati_Bunuh_bakar_buang/Article/