Friday, February 26, 2010

Maulidur rasul s.a.w.

| |
0 comments
Nabi Muhammad s.a.w diutuskan sebagai Rasul terakhir. Tidak ada lagi Nabi atau Rasul selepasnya. Baginda bersifat dengan sifat kemuliaan yang tidak pernah dimiliki oleh sesiapa pun di muka bumi ini. Ia bertugas menyampaikan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia. Menyelamatkan mereka daripada kesesatan dan tidak mengakui kekuasaan Allah  sebagai pencipta kepada sekelian makhluk.

Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang manusia yang paling dikasihi oleh Allah dan menjadi penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul. Allah  mahukan semua manusia supaya mencontohi sifat-sifatnya.


2- DETIK KELAHIRAN.


Waktu fajar 12 Rabiul Awal. Tahun Gajah. Bersamaan 12 April 571 (M), satu kumpulan wanita telah diutus oleh Allah bersiap sedia di sisi Aminah. Mereka ialah Asiah isteri Firaun, Maryam binti Imran, ibu Nabi Isa a.s dan diiringi bidadari-bidadari dari syurga.

Saatnya telah tiba. Aminah  melahirkan seorang putera, bercahaya gilang-gemilang, kedua-dua tangannya bertelekan di muka bumi, kepalanya mendongak ke atas, kedua matanya merenung tajam ke arah langit, keadaannya berbau harum, bersih berseri-seri, sudah siap dikhatankan dan sudah siap dipotong tali pusatnya. Semuanya ini dilakukan sepantas kilat oleh petugas-petugas istimewa dari syurga.

Abdul Mutalib yang sedang tawaf di Kaabah segera mendapatkan cucunya itu, dibawa masuk ke dalam Kaabah.Ia berdiri sambil berdoa dan bersyukur kepada Allah di atas kurniaan yang baharu sahaja diterima itu.


3- MENGENAL FIZIKAL RASULULLAH (S.A.W)


Adalah diceritakan bahawa pertumbuhan jasmani Rasulullah s.a.w  sehari sama dengan pertumbuhan  kanak-kanak biasa sebulan. Usia tiga bulan boleh berdiri. Lima bulan pandai berlari. Sembilan bulan pandai bertutur dengan lancar dan fasih. Di antara dua belikatnya terdapat tanda khatamun Nubuwah yang sentiasa memancar dan dapat dikesan oleh orang yang memandangnya.

Baginda membesar dengan wajah yang berseri-seri. Cahaya wajahnya sentiasa bersinar seperti bulan purnama. Tinggi perawakannya. Kulitnya putih kemerah-merahan. Luas kedua-dua belah matanya. Kening dan bulu matanya melengkung indah. Tajam dan putih bersih giginya. Lebar sedikit mulutnya. Mulus pipinya bersih. Hidungnya mancung indah.  Tangannya lembut bagaikan sutera.

Bidang bahunya lebar. Kukuh kedua belah tangannya. Kuat tulang-tulang sendinya. Sedikit daging di tumitnya. Tebal janggutnya. Rambutnya terurai kemas mencecah bahu. Peluhnya bagaikan butiran mutiara, sentiasa berbau wangi. Tenang setiap langkah bejalannya, agak sedikit tunduk seolah-olah orang sedang berjalan menurun bukit.

Apabila Baginda berjabat tangan, tinggallah bau semerbak di tangan orang yang dijabatnya sepanjang hari. Apabila Baginda mengusap kepala kanak-kanak maka akan segeralah diketahui sentuhan itu kerana baunya yang semerbak mewangi.


4- MENGENAL PERIBADI RASULULLAH S.A.W.


Adalah Rasulullah s.a.w  itu seorang yang pemalu dan rendah hati.  Baginda menjahit sendiri kasutnya yang rosak, menampal bajunya yang koyak, memerah susu kambingnya sendiri dan suka membantu kerja-kerja rumah tangga dengan senang hati.

Baginda amat kasih kepada fakir dan miskin, mahu sahaja duduk bersama mereka, fakir miskin yang sakit segera dijenguk, jenazah mereka dihantar sampai ke kuburan. Baginda tidak pernah memandang rendah walaupun betapa sengsaranya mereka.

Baginda sentiasa bersifat pemaaf. Tidak pernah menyakiti hati orang. Mahu sahaja berjalan dan menghormati orang-orang tua, perempuan-perempuan dhaif dan juga hamba-hamba sahaya.

Baginda tidak pernah melutut kepada raja-raja. Marahnya hanya kerana Allah  dan sukanya juga hanya kerana keredhaan Allah. Apabila berjalan Baginda berada di belakang sahabat dan di belakangnya pula diiringi oleh para Malaikat.

Baginda juga pernah menunggang unta, kuda lumba,baghal, dan himar hadiah orang kepadanya. Pandangannya terhadap kekayaan dunia sangat istimewa. Pernah gunung Uhud menawarkan diri menjadi emas untuk Baginda namun ditolaknya. Pada hal ketika itu Baginda sedang mengalas perutnya dengan seketul batu kerana kekurangan makanan.

Baginda amat sedikit sekali bercakap sia-sia. Sentiasa mendahului mengucapkan salam kepada sesiapa yang ditemuinya. Panjang solatnya. Pendik khutbah Jumaatnya. Baginda sentiasa bergaul mesra, pernah berjenaka kepada isteri-isterinya dan sahabat-sahabatnya.

Baginda tidak pernah sekali membalas kejahatan dengan kejahatan. Apabila dicaci maki, Baginda membalas cacian itu dengan kata-kata  yang sangat lembut dan senang didengar oleh semua orang.

Sesungguhnya, peribadi dan akhlak Rasulullah s.a.w  itu sangat mulia dan luhur. Baginda pernah bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya aku diutus ke dunia ini adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

5- SEDUTAN PERISTIWA.

1        Pada hari kelahiran Rasulullah s.a.w. Abrahah bersama 60.000 orang tentera dan 1,000 ekor gajah telah dibinasakan oleh Allah melalui peristiwa Ababil.

2        Halimah As- Saadiah menyusui dan mengasuh Nabi sahingga berusia 4 tahun.

3        Usia 4 tahun Baginda dibawa oleh ibunya ke Madinah menziarahi pusara ayahandanya. Dalam perjalan pulang bondanya wafat.

4        Usia 6 tahun datuknya wafat. Baginda dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.

5        Usia 12 tahun Abu Talib membawa baginda ke Syam. Seorang Padri Yahudi menasihati Abu Talib supaya membawa Baginda pulang kerana ditakuti akan dibunuh oleh orang-orang Yahudi.

6        Usia 25 tahun Baginda berkahwin dengan Khadijah bt Wahab.

7        Usia 35 tahun  Baginda diberi penghormatan kerana menyelesaikan perbalahan kaun mengenai Hajar Aswad.

8        Usia 40 tahun diangkat menjadi Rasul

9        Usia 51 tahun berlaku peristiwa Isra’ Mi’raj

10    Usia 52 tahun baginda berhijrah ke Madinah.  Peristiwa tersebut dijadikan sebagai permulaan tahun Hijrah.

11    Usia 63 tahun Baginda wafat. Iaitu pada 12 Rabiul Awal 11 tahun selepas hijrah


6- ORANG-ORANG QURAISYI MENENTANG NABI.

Orang-orang musyrik berusaha sedaya upaya  menentang dan menghentikan seruan Baginda. Mereka sangat marah dan membenci Nabi dan pengikut-pengikutnya. Mereka menghalang orang Islam beribadat. Orang kuat mereka ialah Abu Jahal dan Abu Lahab.

Pernah Baginda ditawarkan dengan harta kekayaan, pangkat yang tinggi dan berbagai-bagai tawaran lagi supaya Baginda berhenti mengembangkan Islam, namun semua tawaran itu ditolak. Pembesar-pembesar meraka bertambah marah dan bertindak melakukan kekejaman terhadap penganut-penganut Islam. Antara orang-orang yang diseksa ialah:-

1        Abu Bakar Al – Siddik telah dipukul dan dipijak-pijak hingga berdarah-darah.
2        Osman bin Affan telah diikat kedua tangannya ke tengkuk dan dihalau dari ahli keluarganya.
3        Bilal bin Rabah diikat tangan dan kakinya kemudian disebat dan jemur di tangah padang pasir. Dadanya ditindih dengan batu yang besar.
4        Yasir dan keluarganya syahid kerana rumahnya dibakar.
5        Syamiah isteri Yasir diikat dan dijemur di padang pasir hingga mati.
6        Zunairah seorang hamba Abu Jahal  dicucuk matanya dengan kejam hingga buta.
7        Abdullah bin Masud dipukul hingga berlumuran darah ketika sedang membaca Al-Quran di dalam masjid.

Ramai lagi orang-orang Islam yang diseksa dengan berbagai-bagai seksaan yang mengerikan supaya mereka  kembali kepada agama menyembah berhala, tetapi semuanya gagal. Orang-orang Islam tetap teguh berpegang dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. walaupun mereka terpaksa menghadapi berbagai penderitaan.


7- ASAS AJARAN YANG DIBAWA OLEH RASULULLAH S.A.W.


Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan ajaran Islam kepada semua manusia. Mereka diminta meninggalkan perbuatan menyembah berhala. Mereka diajar supaya menyembah Allah tuhan yang asa. Mereka dididik dan diajar melakukan perkara-perkara yang baik dan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang jahat. Mereka diajar supaya beriman dengan perkara-perkara berikut:-

1.      Beriman  kepada Allah
2.      Beriman kepada Malaikat.
3.      Beriman kepada Rasul.
4.      Beriman kepada Kitab.
5.      Beriman kepada hari Kiamat.
6.      Beriman kepada Qadhak dan Qadar.



Orang-orang yang telah beriman diajar dan dilatih pula supaya melakukan perkara-perkara berikut:-

1.      Mengucap dua kalimah syahadat
2.      Mendirikan solat lima waktu.
3.      Puasa di bulan Ramadhan.
4.      Mengeluarkan Zakat
5.      Menunaikan fardhu Haji.

Disamping itu juga penganut-penganut Islam diajar, dididik dan dilatih supaya memiliki peribadi yang mulia dan terpuji serta berakhlak tinggi. Antaranya ialah:-

1.      Sentiasa bersabar.
2.      Sentiasa bercakap benar.
3.      Sentiasa jujur dalam semua hal.
4.      Sentiasa bersifat Amanah.
5.      Sentiasa hurmat ibu bapa dan orang yang lebih tua.
6.      Sentiasa bertawakal kepada Allah.
7.      Sentiasa menepati janji.
8.      Sentiasa merendah diri.
9.      Baik hati.
10.  Pemaaf dan lain-lain lagi


8- MU’JIZAT RASULULLAH S.A.W.

Mu’jizat ialah perkara luar biasa yang berlaku kepada para nabi dan rasul sebagai bukti kebenarannya. Antara mu’jizat yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ialah:-

1.      Mendampingkan cahaya bintang Zuhrah ke dalam diri Rasulullah s.a.w sejak dari mula Baginda dilahirkan.

2.      Cahaya terang benderang diseluruh daratan dan pergunungan tanah Haram Mekah.

3.      Berubah segala penderitaan dan kesusahan ibu susunya kepada kebahagiaan dan kesejahteraan.

4.      Dilindungi oleh awan dari cahaya panas matahari ketika berjalan di tengah padang pasir.

5.      Dibelah dadanya oleh dua Malaikat, dikeluarkan daripadanya gumpalan darah beku berwarna hitam, diganti dengan hikmah dan dipenuhi dengan keimanan.

6.      Memberi makan dan minum kepada orang ramai dengan hanya makanan dan minuman yang sidikit tetapi cukup.

7.      Boleh melakukan sesuatu yang luar biasa dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran seperti yang berlaku ketika rumah Baginda dikepung oleh orang-orang kafir yang hendak membunuhnya.

9- PENUTUP.

Sempena menyambut hari keputeraan Baginda Rasulullah s.a.w ini marilah kita tingkatkan keimanan dan rasa cinta dan kasih kita kepada Baginda dengan mengerjakan segala ajaran yang dibawanya. Tinggalkan segala larangan dan tegahannya. Cekalkan hati menghadapi kehidupan yang penuh dengan pancaroba ini. Jangan biarkan diri terhumban jauh ke dalam perbuatan-perbuatan  maksiat dan dosa.

Allah akan membalas segala perbuatan yang kita lakukan semasa hidup ini. Baik dibalas dengan baik dan begitulah sebaliknya.

Read More
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Pesanan Hari Ini

“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.”

(Hadis riwayat Muslim)

“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.”

(Hadis riwayat Muslim)

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”

by Ahmad AlFateh