Tuesday, February 16, 2010

Nasyid: Antara Populariti Dan Prinsip

| |
0 comments

www.iluvislam.com
Oleh: Amin Inteam
mawaryangtinggi




Sejarah kemunculan nasyid di Malaysia
Irama nasyid sudah dikenali di Malaysia sejak munculnya kumpulan-kumpulan seperti Al-Jawaher, El-Suraya, Al-Mizan, Orkes Sinar Murni dan seumpamanya yang kebanyakannya terdiri dari kalangan wanita. Perkembangan itu juga selari dengan munculnya kumpulan-kumpulan nasyid yang bergerak secara ‘indie’ atau ‘underground’ yang dipelopori oleh Jemaah Al-Arqam dalam era tahun 80-an.

Akhirnya, kewujudan genre yang bermatlamat murni ini mula disedari masyarakat umum secara total apabila Raihan menjengah dunia komersial industri muzik tanahair dengan album pertama mereka Puji-pujian yang mendapat sambutan luar biasa sehingga tercatit di dalam Malaysia Books of Records sebagai album paling laris jualannya yang masih belum dapat dipecahkan oleh sesiapa pun artis di Malaysia hatta Mawi sekalipun. Unit jualan yang dicatatkan pada ketika itu adalah 600,000 unit dan tidak mustahil, sehingga kini sudah mencecah 1 juta unit.



Faktor Ikhlas sebagai X-Factor
Apabila kita mengkaji dan menilai, bertanya dan mempersoal, apakah ciri-ciri kejayaan jualan tersebut, banyak faktor yang kita boleh catitkan antaranya kelainan, pembaharuan, kontroversi, lagu yang menarik, melodi yang easy-listening dan banyak lagi. Namun hakikatnya, disebalik faktor-faktor fizikal tersebut, terdapat satu faktor besar yang kurang mendapat perhatian umum kerana sifatnya yang tidak nyata iaitu IKHLAS. Sifat Ikhlas diibaratkan seekor semut hitam, yang berjalan di atas batu yang hitam dalam gua yang gelap dalam malam yang gelap pekat. Mengapa sifat ikhlas yang dibangkitkan sebagai salah satu faktor kejayaan Raihan sekiranya sifat itu diibaratkan sebagai satu yang sangat sukar dilihat? Di sini dihuraikan falsafahnya.




Raihan adalah kumpulan nasyid pertama yang cuba keluar dengan album dalam dunia komersial tanpa ada sebarang rujukan tentang jualannya, sambutannya, konsepnya, adakah mereka akan diterima atau pelbagai persoalan lagi. Namun, mereka mengambil risiko ini untuk menjadi perintis kepada memperkenalkan irama ini kepada ruang lingkup yang lebih luas lagi. Adakah sewaktu mereka bergerak secara underground mereka tidak ikhlas? Bukan ini persoalannya, zaman underground sudah pasti mereka ikhlas dan tujuan utamanya adalah tetap berdakwah. Mungkin kalau kita kaji jualan album underground mereka pun jualannya tidak mustahil sudah mencecah jutaan unit semuanya. Apa yang ingin kita bincangkan di sini ialah dunia nasyid pasca komersial. Maka muncullah mereka dengan sebuah album yang menggunakan konsep perkusi semata-mata. 



“By Allah’s Will”
Kalau kita kaji dengan logik akal, seperti mana yang penasyid-penasyid kini sering hujjahkan, jika kita ingin menarik kumpulan pendengar yang lebih luas, kita perlu mengikut arus muzik semasa, maka jelaslah teori itu langsung tidak dipraktikkan oleh Raihan pada ketika itu kerana muncul dengan muzik yang boleh dianggap outdated oleh kita sekarang. Kenapa dengan menggunakan teori yang salah, namun hasil kejayaan Raihan tercatit dalam sejarah? Sehingga dengan muzik outdated itu, mereka diperkatakan sehingga keluar Negara? Sehingga berita mengenai mereka muncul di dalam berita-berita televisyen dan akhbar luar Negara? Sehingga Prince Charles ingin menyaksikan persembahan mereka? Di sini bermulalah kupasan isu antara populariti dan prinsip. Dapatlah kita simpulkan di sini, sebagai Muslim dan Mukmin, kita tidak boleh berpegang dan yakin dengan teori logik akal semata-mata tanpa meletakkan kehendak Allah, keizinanannya dan Kuasanya yang menentukan natijah kerja dan usaha kita. Teringat penulis seorang pensyarah Biologi di Pusat Matrikulasi yang mewajibkan pelajar meletakkan ayat “by Allah’s will” dalam setiap jawapan teori-teori biologi yang dipelajari ketika itu. Di sinilah prinsip pertama kita sebagai penasyid yang membezakan kita dengan prinsip artis biasa yang selalunya diwajibkan oleh production house; wajah yang menarik, muzik dan lagu yang sedap, bakat yang ada walaupun sedikit.



Perbetulkan niat dan keyakinan pada kehendak Allah
Kembali kepada topik, hakikatnya album yang dikeluarkan Raihan pada ketika itu, jelaslah mendapat sambutan dengan sebab utamanya keizinan dan kekuasaan Allah yang menentukannya. Bertitik-tolak dari keikhlasan mereka, mereka menyerahkan segalanya pada Kekuasaan Allah, bukan pada teori dan logik akal dan nafsu. Hati-hati manusia di gerakkan oleh Allah, keinginan mereka membeli album ini, digerakkan oleh Allah, liputan media yang meluas ditentukan oleh Allah, Allah membuka hati ramai orang untuk melihat dan mendengar hasil kerja mereka ini. Hatta beberapa non-Muslim yang akhirnya memeluk Islam asbab mendengar lagu Raihan juga dibuka hati mereka oleh Allah. Sehinggakan non-muslim dari luar Negara yang tidak faham bahasa melayu, ada yang memeluk Islam mendengar lagu Raihan yang mereka tidak faham sepatah pun, juga kerana kekuasaan Allah yang membuka hati mereka.

Maka, kesimpulannya, sebelum seseorang penasyid, ingin keluar dengan album baru dan mengakui diri mereka sebagai pendakwah, menjadi kewajipan kepada mereka untuk berniat, sebagaimana kita memulakan sesuatu ibadah dengan niat, hendak solat kita berniat, hendak puasa kita berniat, hendak berdakwah melalui nasyid kita mulakan juga dengan niat; NIAT YANG IKHLAS untuk berdakwah kepada Allah. Namun hakikatnya tentu sukar untuk penasyid-penasyid menanam niat yang ikhlas hatta penulis sendiri sekalipun. Kenapa? Kerana kita semua sudah ada rujukan tentang kejayaan Raihan. Bukan mempertikaikan niat semua penasyid, tapi untuk kita berusaha memperbaharui niat kita. Sekurang-kurangnya, penasyid kedua, ketiga, keempat, kesepuluh, kelimapuluh dan seterusnya, pasti jika tidak banyak, sedikit terganggu niat mereka apabila melihat kejayaan Album Raihan dijual 600,000 unit dengan royalty mereka yang membolehkan mereka membeli rumah dan hidup selesa, dengan popularity mereka, yang disanjung dan muncul dalam media TV dan akhbar setiap masa, dengan sesetengah peminat yang tidak mengawal diri menyanjung dan memuja mereka. Pasti terdetik dalam hati, ingin kaya seperti mereka, ingin popular seperti mereka, ingin disanjung seperti mereka dan sebagainya. Namun inilah sebenarnya cabaran hebat bagi mereka yang ingin menjadi pendakwah dalam bidang ini. Hatta kepada Raihan sendiri, mungkin terganggu dengan faktor-faktor ini untuk album-album mereka yang seterusnya.

Penasyid harus memusatkan niat mereka untuk berdakwah melalui nasyid yang bakal mereka bawa. Penasyid harus meletakkan keyakinan mereka pada kehendak Allah dan bantuannya sehingga ke tahap sekiranya mereka meletakkan satu album yang tidak sedap lagunya, tidak hebat vokalnya, tidak up-to-date muziknya, tidak menarik wajahnya di pasaran, namun niat mereka Ikhlas kerana Allah, album itu mampu untuk meletup atas kehendak dan kekuasaan Allah yang hanya mengatakan “Kun fayakun”. Bukanlah tujuan penulis untuk menggalakkan hasil produksi yang tak berkualiti. Membuat kerja yang terbaik dan menghasilkan suatu yang terbaik adalah sangat digalakkan dalam Islam, Cuma ingin dihuraikan disini teori niat dan yakin pada kehendak Allah. Lebih cantik lagi sekiranya penasyid tersebut membuat satu album yang terbaik kualitinya dan beri’tikad dengan kualiti niat yang terbaik. Kita sebagai penasyid dan mungkin bakal penasyid, termasuk penulis sendiri, marilah kita renung jauh ke dalam diri kita sendiri, dalam 100% pecahan niat kita berapa peratuskah hakikatnya kita peruntukkan untuk menjadikan kerja kita ini sebagai dakwah. Sekiranya kita buatkan carta pai mungkinkah 10% untuk dakwah, 30% untuk duit, 40% kerana minat muzik, 20% kerana ingin popular dan disanjung. Atau banyak lagi pecahannya. Cuba kita renungkan secara telus dan amanah kepada diri kita sendiri, bagaimana pecahan peratusan kita? Atau mungkinkah 70% untuk popularity, atau 100% untuk wang, atau 100% kerana Allah, jika ada Alhamdulillah.



Renungkanlah sejenak untuk kebaikan diri kita sendiri, dan kebaikan genre nasyid tanahair yang kian suram dan tidak efektif dewasa ini. 



Nasyid bukan dakwah?
Nasyid memang sebenar-benarnya salah satu cabang dakwah. Salahlah bagi mereka yang mengatakan nasyid hanya satu jenis hiburan alternatif, dan tidak boleh dikaitkan dengan dakwah. Jika bukan dakwah, apa yang kita nak katakan dengan peristiwa bukan Islam yang memeluk Islam mendengar lagu Nasyid? Kalau bukan Islam sehingga memeluk Islam kesannya, tentu lebih banyak lagi kesan dakwah nasyid yang dapat dirasakan oleh orang Islam sendiri. Cuma, sejak kebelakangan ini, nasyid seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada pendengar-pendengarnya sendiri apalagi untuk pendengar-pendengar asing dari dunia yang tidak mengenali nasyid.

Penulis sering mengaitkan dengan konsep dakwah mengikut zaman. Seperti contoh yang kita dapat lihat dalam sejarah, Nabi Daud di beri mukjizat oleh Allah melembutkan besi dalam zamannya yang popular dengan pertukangan besi, Nabi Musa diberikan mukjizat-mukjizat ibarat ahli sihir, untuk menewaskan ahli sihir firaun yang mana pada zamannya, sihir adalah satu kehebatan besar, Nabi kita Nabi Muhammad sendiri, diberikan Allah mukjizat Al-Quran yang indah bait-bait bahasanya di dalam zamannya yang mengagungkan syair-syair, yang mana keindahan Al-Quran itu tidak terjangkau hebatnya untuk ditiru dan dikalahkan oleh penyair-penyair arab pada ketika itu. Semua mukjizat-mukjizat ini dicipta Allah untuk nabi-nabi ini bagi menarik masyarakat mengikut minat dan budaya mereka, untuk ‘impress’ mereka dengan kehebatan mukjizat ini sesuai dengan zaman dan budaya masyarakat mereka. Maka apakah antara yang dipuja dan mendapat tempat utama dalam masyarakat kita dizaman ini? Sudah pasti HIBURAN. Justeru, satu peranan besar untuk penasyid-penasyid ini menjadikan hiburan yakni lagu sebagai alat atau wadah dakwah mereka, selain ulama-ulama melalui ceramah dan ilmu mereka, penulis-penulis melalui penulisan mereka, dan seumpamanya.

Kembali kepada niat, maka untuk menjadikan wadah ini benar-benar berkesan, maka niat kita semua harus disemak dan diperbaharui. Kerana iman manusia ini ‘yazid wa yanqus’ bertambah dan berkurang. Kita perlu ingat, apa yang kita lakukan dari hati pasti kan jatuh ke hati. Itulah sepatutnya yang berlaku kepada lagu-lagu nasyid yang menjadi wadah dakwah kita ini. Marilah kita sama-sama cuba pastikan nyanyian nasyid kita, benar-benar datang dari hati yang ikhlas untuk kita tempat kan pula di dalam hati pendengar lagu tersebut agar memberi kesan kepada mereka. Bermula dari niat kita, pembikinan album, rakaman lagu di studio, pemilihan lirik dan lagu, susunan muzik, sekecil-kecil perkara pun harus di ambil berat sekiranya boleh membantu memfokuskan niat kita, umpama berwudhu sebelum rakaman, solat hajat, menghadap kiblat, berdoa sebelum rakaman dan seumpamanya. Kerana pernah dalam Islam sekecil-kecil amalan bersugi pun mampu mempengaruhi natijah usaha kita, sekecil-kecil rengangan dalam saf pun, mampu menewaskan kita dalam peperangan besar, maka dalam usaha dakwah kita, sekecil-kecil amalan pun perlu kita titik beratkan agar natijah lagu kita tidak mampu menjadi asbab hidayah kepada pendengarnya.

Read More

Monday, February 08, 2010

AZAB PEDIH JIKA TIDAK BERSYUKUR

| |
0 comments


UMAT Islam masa kini perlu memperbanyakkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana ia adalah tanda keteguhan iman di atas segala nikmat kurniaan-Nya yang tidak terkira banyaknya.

Lebih-lebih lagi sebagai rakyat Malaysia mereka amat bertuah kerana Allah mentakdirkan berada atau memiliki sebuah negara yang aman dan mengurniakan pula rezeki dan nikmat yang melimpah ruah.

Nikmat keamanan yang diterima terus-menerus dan tidak putus-putus ini sepatutnya menambahkan lagi rasa terima kasih atau kesyukuran kepada Allah dan memperkuatkan lagi ketaatan serta pengabdian kepada-Nya.

Umat Islam di negara ini sepatutnya bermuhasabah diri seiring dengan usia yang semakin bertambah dan hampir ke penghujungnya. Saidina Umar al-Khattab pernah meluahkan ungkapan yang terkenal, iaitu: "Perhitungkanlah (hisablah) dirimu sebelum anda dihitung (dihisab) oleh Allah (pada hari akhirat)."

Bagaimanakah mengukur tahap rasa syukur kepada Allah atas segala nikmat pemberiannya yang tidak terhitung banyaknya selama ini?

Setiap umat Islam perlu berasa cemas dan takut kerana selepas banyak menikmati rezeki pemberian Allah, mereka tidak diiktiraf oleh Allah sebagai orang yang bersyukur kepada-Nya. Ini kerana di dalam al-Quran, Allah menyebut dalam beberapa ayat yang mana ramai manusia yang tidak berterima kasih kepada Allah atau sedikit sekali orang yang bersyukur kepada-Nya.

Orang yang tidak tahu atau tidak mahu bersyukur, maka azab Allah bakal diterimanya di akhirat. Sebaliknya, orang yang tahu bersyukur dan menghargai nikmat pemberian Allah, mereka beruntung kerana Allah berkenan menambahkan lagi pemberiannya, sebagai firman-Nya bermaksud: "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (QS. Ibrahim: 7)

Nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia khususnya kepada Muslim boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:

§ Nikmat untuk kelangsungan hidup di dunia seperti makanan, minuman pandangan, kekayaan, keamanan, kesihatan, umur dan nikmat berkasih sayang; dan

§ Nikmat yang paling mahal dan tinggi nilainya nikmat iman dan Islam kerana ia bukan setakat untuk di dunia tetapi berterusan sampai ke hari akhirat.

Umat Islam patut bersyukur kerana dikurniakan nikmat iman dan Islam di samping nikmat lain yang tidak terkira banyaknya. Marilah bersungguh-sungguh mempertahankan nikmat iman dan Islam sampai ke akhir hayat.

Soalnya, adakah umat Islam sebenarnya bersyukur dengan kedua-dua bentuk nikmat yang dikurniakan Allah? Allah berfirman, bahawa amat sedikit manusia yang bersyukur.

Allah menghuraikan mengenai banyaknya nikmat kurniaan Allah kepada manusia yang pasti tidak mampu dihitung. Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. An-Nahl: 18)

Allah meminta supaya manusia yang banyak menerima nikmat dan kurniaan Allah supaya bersyukur, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan Allahmengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur." (QS. An-Nahl:78)

Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud: "Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (QS. al-Baqarah: 185). Banyak lagi ayat al-Quran yang diakhiri dengan kalimah yang bermakna, "agar kamu bersyukur." Beberapa firman Allah (sekadar beberapa ayat) dalam al-Quran menyatakan bahawa kebanyakan manusia tidak bersyukur atau sedikit sekali yang berterima kasih kepada Allah, seperti firman-Nya bermaksud: 'Dan sedikit sekali daripada hamba-Ku yang tahu berterima kasih (bersyukur)." (QS. Sabda': 13)

Dalam soal jawab Iblis dengan Allah, Iblis berkata, "Kemudian aku datang (memperdayakan) mereka dari muka, belakang, kanan dan kiri mereka. Dan tidaklah Engkau (Tuhan) akan mendapati kebanyakan daripada mereka tahu berterima kasih." (QS. al-A'raaf: 17). Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (QS. al-Baqarah: 243)

Sewajarnya umat Islam menaruh perasaan bimbang dengan penjelasan Allah seperti dalam beberapa ayat berkenaan, iaitu apakah mereka daripada kalangan orang yang bersyukur. Semoga kisah berikut memberi pengajaran atau iktibar kepada kita.

Diceritakan bahawa ada seorang pemuda pada zaman Saidina Umar al-Khattab yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: "Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit." Doa pemuda ini didengar oleh Saidina Umar ketika beliau (Umar) sedang bertawaf di Kaabah. Umar berasa hairan, iaitu kenapa pemuda berkenaan memohon doa sedemikian rupa.

Selepas selesai melakukan tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"

Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur." Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah, jelas pemuda berkenaan.

Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu." Memanglah teramat sedikit yang tahu dan mahu bersyukur dan semoga kita termasuk dalam golongan yang sedikit berkenaan (yang bersyukur).

Bagaimanakah memastikan diri daripada kalangan orang yang bersyukur dengan segala nikmat yang diterima daripada Allah?

Menurut Imam al-Junaid, "Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepada-Nya". Ertinya, tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat atau rezeki kurniaan Allah untuk melakukan ketaatan kepada-Nya dan memanfaatkannya ke arah kebajikan - bukan menyalurkannya ke kancah maksiat atau kejahatan.

Ulama bernama Ahsin bin Atha'ullah pula membahagikan syukur kepada tiga, iaitu:

§ Syukur dengan lidah, iaitu dengan cara menyebut nikmat kurniaan Allah seperti firman Allah: "Dan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau menyebutkannya sebagai menzahirkan kesyukuran." (QS. adh-Dhuha: 11);

§ Syukur dengan anggota badan, iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah, iaitu dengan menggunakan anggota badan ke atas perkara yang diredhai Allah; dan

§ Syukur dengan hati, iaitu mengiktiraf bahawa Allah sajalah pemberi segala nikmat di mana segala nikmat atau rezeki yang diperoleh oleh setiap manusia (hamba Allah) datangnya daripada Allah, sesuai dengan penjelasan Allah menerusi firman-Nya bermaksud: "Apa jua nikmat yang kamu peroleh, maka ia datangnya daripada Allah." (QS. an-Nahl: 53)

Ibnu Atha'ullah Askandari pula berkata: "Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat, maka dia membuka ruang seluas-luasnya untuk nikmat berkenaan hilang daripadanya. Sedangkan sesiapa bersyukur, maka (bermakna) dia mengukuhkan lagi ikatan kekalnya nikmat berkenaan kepada dirinya. Dan sesiapa yang tidak mempedulikan nikmat Allah yang diperolehinya, maka dia akan menghargainya apabila nikmat itu (telah) hilang daripadanya."

Ketika Siti Aisyah bertanya Rasulullah SAW (suaminya), mengapa baginda begitu kuat dan tekun beribadah (solat) sampai kakinya bengkak, sedangkan baginda seorang nabi yang telah diampun dosanya dahulu dan akan datang? Nabi Muhammad menjawab, "Tidak bolehkah aku menjadi orang yang bersyukur kepada Allah."

Ini bermakna mentaati perintah dan menjauhi apa jua larangan Allah adalah tanda syukur kepada-Nya. Insaflah bahawa apa jua yang Allah suruh kerjakan dan tinggalkan segala larangan-Nya adalah semata-mata untuk keuntungan manusia sendiri.

Allah tidak mengambil sebarang faedah daripada apa jua yang diperintah dan dilarang-Nya. Allah tidak sekali-kali rugi jika semua manusia sepakat untuk tidak mentaati-Nya dan tidak pula untung sekelumit pun sekiranya semua manusia beriman dan patuh kepada-Nya. Bukankah Allah mewujudkan manusia di muka bumi ini untuk diuji. Allah hendak melihat siapakah antara mereka yang paling baik perbuatannya?

Ini selaras dengan penegasan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya agar Kami menguji mereka siapakah antara mereka yang terbaik perbuatannya."(QS. al-Kahfi:7)

Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid ialah Pensyarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang
Read More

Tuesday, February 02, 2010

60 remaja mula merokok setiap hari

| |
0 comments

Oleh ROHANI IBRAHIM

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan menganggarkan antara 50 hingga 60 remaja memulakan tabiat merokok setiap hari di negara ini.
Sebahagian besar daripada mereka akan menjadi penagih rokok apabila dewasa dengan setiap seorang akan membelanjakan RM5,544 setahun untuk membeli rokok, pemetik api, kos rawatan penyakit dan membaiki barang yang rosak kerana asap rokok.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, kos berkenaan dikira berdasarkan seorang yang menghisap 20 batang rokok berharga RM5.40 sekotak sehari.
Tambah beliau, golongan remaja di negara ini sudah mula mengambil alih tempat orang dewasa sebagai perokok.
``Satu perkara yang amat sukar dilakukan ialah menghalang atau menyekat golongan remaja daripada cuba merokok.
``Kempen-kempen anti-merokok yang dijalankan di sekolah-sekolah dan penguatkuasaan peraturan yang melarang seseorang di bawah umur 18 tahun daripada membeli rokok dan produk berasaskan tembakau nampaknya belum lagi berkesan,'' katanya.
Abd. Latiff berkata demikian pada pelancaran Minggu Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pasar Seni di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Vektor Kementerian Kesihatan, Dr. Marzukhi Mohd. Isa.
Abd. Latiff menambah, peningkatan jumlah remaja yang merokok adalah kesan daripada strategi pemasaran yang dilakukan oleh syarikat rokok yang sengaja ditujukan kepada golongan remaja.
```Ini termasuk iklan jenama rokok melalui media dan juga promosi melalui aktiviti-aktiviti sukan dan hiburan yang ditaja oleh syarikat rokok.
``Golongan remaja memang mudah terpesona dengan gaya hidup bergaya dan hebat yang dipaparkan di dalam iklan berkenaan,'' kata beliau lagi.
Oleh itu katanya, semua pihak perlu meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang bahaya merokok serta berazam untuk tidak merokok.
```Selain mendapatkan khidmat kaunseling dan terapi gantian nikotin di klinik-klinik yang berdekatan mereka yang ingin berhenti merokok juga boleh berjunjung ke Klinik Berhenti Merokok, Institut Perubatan Respirotari, Kuala Lumpur,'' katanya.
Read More

Sunday, January 31, 2010

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

| |
0 comments
Ketika Ibrahim bin Ad'ham (seorang ahli tasawuf) berada di pasar
Basrah, telah dikerumuni beliau oleh orang ramai, di antaranya ada yang
bertanya: "Ya Aba Ishak! Gelaran bagi Ibrahim bin Ad'ham mengapakah kami
memohonkan doa kepada Allah, tetapi tidak dikabulkan doa kami?"
Ibrahim bin Ad'ham menjawab: "Kerana hati kamu telah mati disebabkan
sepuluh perkara:

1. Kamu mengenal Allah, tapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya.
2. Kamu mengaku bahawa kamu cinta kepada Rasulullah saw, tetapi kamu
tinggalkan sunnahnya.
3. Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal menurut Al-Quran.
4. Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan
syukurnya.
5. Kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak
menentangnya.
6. Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar adanya, tetapi kamu tidak
beramal untuknya.
7. Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar adanya, tetapi kamu tidak
lari daripadanya.
8. Kamu telah berkata bahawa mati itu benar adanya, tetapi kamu tidak
bersedia baginya.
9. Kamu bangun dari tidur lalu ceritakan keaiban manusia, tetapi kamu
lupa keaiban kamu sendiri.
10. Kamu mngubur mayat-mayat saudara-saudara kamu, tetapi kamu tidak
jadikan pelajaran bagi mereka.
Read More

Tuesday, January 19, 2010

Siri Hompej

| |
0 comments

Cara mudah membina hompej (homepage)

Kandungan
Apa pun yang dipilih untuk menjadi kandungan hompej anda, ia mestilah sesuatu
yang kita minati. Ini akan memastikan keghairahan kita tidak luntur dan hompej itu
dipersegar selalu. Ada orang tidak pernah menjenguk hompejnya lebih enam bulan,apa lagi untuk memperbaharuinya.

Program
Untuk webmaster baru yang tidak tahu HTML -- bahasa komputer untuk
pembinaan hompej -- cuba dapatkan satu editor jenis WYSIWYG. Wiswig adalah
kependekan bahasa Inggeris untuk 'apa yang anda lihat itulah yang keluar'.

Ada beberapa program freeware (percuma) untuk tujuan ini. Penulis cadangkan
Netscape Gold kerana antaramukanya seperti browser kita.

Ruang web
Kini ada banyak pembekal ruang web percuma. Antaranya tripod, geocities, dan
xoom. Gunakan enjin pencari untuk mendapatkan URL yang lainnya. Daftar
keahlian anda di situ.

Membina laman
Cara paling mudah bagi orang baru ialah dengan menggunakan laman web yang
sedia ada untuk reka letak anda.

1.Langkah pertama dalam proses ini ialah memilih laman yang anda minati.
Jangan pilih yang terlalu sofistikated. Cukuplah dengan laman sederhana.

2.Kedua, SAVE laman itu ke PC anda.

3.Ketiga, buka fail yang anda simpan tadi di dalam Netscape Gold.

4.Keempat, tukar kandungan dalam fail asal dengan kandungan anda.

5.Kelima, SAVE perubahan itu. Anda sudah anda laman web sendiri.

6.Langkah seterusnya ialah memindahkan fail itu ke pembekal ruang web anda,
misalnya di xoom.com


 Promosi
Supaya orang lain tahu, laman web anda mestilah diiklankan.

1.Kelompok pertama ialah kawan-kawan anda. Beritahu mereka melalui emel.

2.Kedua, daftarkan laman web anda di enjin pencari utama. Dalam laman web
enjin pencari ini selalunya ada kemudahan mendaftarkan laman baru.

3.Ketiga, sertai salah satu apa yang dinamakan Web Ring atau rantaian web.
Ada beribu-ribu jenis rantaian. Pilih satu yang sesuai dengan kandungan
anda. Ahli rantaian ini mengiklankan laman satu sama lain.

4.Akhir sekali, anda juga boleh membuat promosi dengan menandatangani
buku lawatan laman web lain.

Strategi Kedua
Setelah laman web anda ke udara, langkah seterusnya ialah belajar HTML. Banyak
panduan mengenai bahasa pemprograman ini di Internet. Memang benar kita boleh
membina laman tanpa HTML, seperti membawa kereta tanpa mengetahui
bagaimana mengisi angin tayar kempis atau mengisi air bateri.

Kedua, cuba belajar menggunakan teknologi tambahan untuk laman web itu.
Seperti memasukkan bunyi, animasi dan sebagainya. Ketiga, masukkan
perkhidmatan tambahan untuk laman anda. Adakan ruang borak, ciri-ciri interaktif,
realiti maya, pertunjukan slaid dan banyak lagi. Untuk mencari idea, lihat laman web
orang lain.

Webmaster
Anda kini seorang webmaster. Anda akan dapati bahawa menjadi seorang
webmaster sangat meletihkan. Tetapi kepuasan yang diperolehi boleh
menghilangkan segala kelesuan. Sebab itulah dari awal lagi kami cadangkan supaya
kandungan laman anda sesuatu yang benar-benar kita minat.

Kita juga akan dapati bahawa yang penting sekali dalam sebarang laman web ialah
kandungan. Bentuk laman anda mungkin buruk, tetapi jika isinya bagus pengguna
akan berpusu-pusu ke situ. Begitu juga sebaliknya.

 Renungan
Kita kurang laman web dalam bahasa Melayu. Bahasa Inggeris Internet agak sukar
difahami, terutama di laman-laman ilmu. Jika anda boleh menterjemah, carilah
pahala dengan membina laman web yang memberikan terjemah kepada
laman-laman web seperti ini.

Malaysia juga kurang laman web mengenai pendidikan. Gunakan enjin pencari dan
cari "spm OR stpm". Guru-guru atau sesiapa saja yang mahu menabur bakti boleh
membantu dalam bidang ini. Kini sekolah luar bandar sudah dipasang Internet.

Biarlah laman web kita berfaedah. Ilmu yang dimanfaatkan orang lain adalah salah
satu bekalan yang paling berharga di ketika wang dan ringgit tidak laku lagi.



Halaman ini di www.xoom.com. Anda sendiri boleh mendapatkan 11 megabit
ruang web secara percuma daripada xoom. Pendaftaran mudah dan dalam 10
minit anda sudah ada ruang sendiri.

Read More

Sunday, January 10, 2010

Aqidah Islam

| |
0 comments



Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

Kita kehendaki aqidah Islam yang sahih menurut aqidah as salafus salih,
aqidah para sahabat Rasulullah s.a.w dan para pengikut mereka, yang jauh
dari bida'ah dan khurafat karut marut. Aqidah yang telah membentuk
generasi Muslim yang pertama, aqidah inilah yang menguasai perasaan dan
pemikiran mereka dan menguasai segenap urusan hidup mereka, memancarkan
kemampuan amal yang sunggah-sungguh di dalam diri mereka. Aqidah tauhid
yang sejati ini memenuhi hati makhlukNya dengan nur iman yang dengannya
dia berjalan di atas sirat al-mustaqim:

"Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami
berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat
berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang
keadaannya berada di dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat
keluar daripadanya?" (Al-An'aam:122)

Kita menghendaki pendukung aqidah yang selamat sejahtera, menyedari
bahawa dia adalah suatu yang agung di dalam hidup ini, menginsafi bahawa
dia mempunyai satu risalah yang penting, bahawa dia hidup dengannya dan
hidup kerananya, dirinya bukanlah barang yang remeh dan terbiar seperti
seekor kambing ataupun persis satu alat akan tetapi dia merasai dirinya
kuat dan mulia kerana dia bersandar kepada Allah yang Maha Kuat dan Maha
Perkasa. Apabila kita memperkatakan aqidah tauhid di sini, bukanlah ilmu
tauhid yang membawa pendukungnya hanya berkisar di daerah ilmu kalam dan
perdebatan melulu. Semoga Allah memberi berkat kepada pujangga Iqbal
tatkala berkata: "Tauhid itu dahulu satu kekuatan di antara manusia.
Tetapi sekarang telah menjadi tauhid ilmu kalam."

Kita menghendaki pendukung aqidah yang selamat sejahtera, yang beriman
kepada Allah, kepada malaikat, kepada rasul-rasul Allah, kepada hari
Akhirat dan beriman kepada qadha' dan qadar, baik buruknya dari Allah.

Iman yang teguh dan tidak goncang apabila berhadapan dengan apapun
tekanan dan pengabuian mata yang membawa keraguan.

Kita menghendaki aqidah salimah yang memberikan kepada pendukungnya hati
yang mukmin yang mencintai Allah s.w.t sama ada di waktu rahsia dan
terang, di waktu marah dan reda, di segala keadaan, kerana semata-mata
berharap kepada rahmat kurnia Allah dan redhaNya, kerana takutkan murka
Allah dan azabNya.

Kita menghendaki laki-laki aqidah yang menimbang segala urusan hidup di
sekitarnya dengan timbangan rabbaniah. Lantaran itu pandangan kepada
dunia dengan segala apa yang ada padanya adalah merupakan pandangan
Islamiah yang sahih. Islam yang benar dan tidak timbul daripadanya
sepatah perkataan, suatu perbuatan, suatu gerakan atau diam kecuali dari
aqidah Islam dan sesuai dengan syariat Islam, ajaran Islam dan adab-adab
Islam.

Kita menghendaki laki-laki aqidah yang mengutamakan Allah di atas
segala-gala yang lain daripadaNya lalu dia menyerahkan segala hartanya,
waktunya, pemikirannya, usahanya, jiwanya dan segala apa yang ada
padanya kepada dakwah Islam. Dia terus menerus bersabar dan berkorban
pada jalan Allah kerana mengharap keredhaan Allah.

Kita menghendaki laki-laki aqidah yang berbangga dengan saudaranya, yang
bersungguh-sungguh membawa kebaikan kepada saudaranya dan menolong
saudaranya dan mencintai saudaranya, yang memberikan pada saudaranya apa
yang paling disukainya bahkan mengutamakan saudaranya dari dirinya,
serta memelihara kehormatan saudaranya. Tidak membiarkan saudaranya,
tidak mengecewakan saudaranya dan tidak mendedahkannya pada bahaya.

Kita menghendaki aqidah Islamiah yang menjadikan pendukungnya merasai
tanggungjawabnya terhadap Islam, terhadap saudara-saudaranya sendiri.
Dia tidak akan merasa senang dan tenteram hatinya sehinggalah dia
melaksanakan tanggungjawabnya dengan segala kemampuannya terhadap
dakwahnya, dakwah Islam.

[Utz Mustafa Masyhur]




Read More

Wednesday, January 06, 2010

Mengenal Allah

| |
0 comments


Soalan:
Apakah maksud yang dikatakan ‘barang siapa kenal diri maka kenallah akan tuhannya’?
Jawapan:
Salah satu cara mengenal Allah ialah dengan mengenal diri sendiri. Maksudnya ialah hakikat diri yang sebenarnya. Adapun maksud diri yang sebenarnya itu bukanlah diri yang bersifat lahiriah, kerana jasad ini tidak membawa makna yang sebenar untuk mengenal Allah SWT.
Pada abad moden ini ramai dikalangan kita tidak mengenal dirinya yang sebenar. Mereka menganggap bahawa dirinya hanyalah tubuh badan yang terdiri daripada kulit, daging, tulang, darah dan sebagainya. Yang dimaksudkan dengan sebenarnya ialah diri yang batin iaitu diri yang datang dan akan kembali kepada Allah SWT.
Ulama ilmu ketuhanan atau ilmu tauhid berpegang bahawa diri kita ini merupakan tangga untuk mengenal Allah, sesuai dengan dalil yang mengatakan: “Siapa yang mengenal dirinya, sesungguhnya ia akan mengenal Tuhan-nya”. Dikalangan ulama tasauf atau ulama ilmu ketuhanan selalu menasihatkan carilah diri kamu di dalam diri”, maksudnya ialah menyuruh agar kita mencari hakikat diri kita yang sebenarnya terlebih dahulu. Apabila kita telah menemukan diri kita yang sebenarnya pasti kita akan mengakui hakikat adanya Allah SWT.
Hakikat diri yang sebenarnya merupakan roh atau jiwa ataupun rohani yang ada dalam diri manusia itu sendiri yang harus dikenali setiap manusia. Diri batiniah ini tidak dapat dilihat atau diraba oleh mata lahiriah dan tangan manusia. Walaupun di dalam Al Quran “diri” itu disebut dengan berbagai istilah, tetapi tujuannya adalah untuk mengingatkan kepada manusia supaya berfikir bahawa betapa luasnya “diri” yang hakikat itu di dalam manusia. Diri manusia dilengkapi oleh Allah dengan sifat-sifat tertentu, kemudian sifat-sifat tersebut dinilai atau dihisab samada baik ataupun buruk.
Firman Allah SWT maksudnya:
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.  Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta pertnggungjawapannya”. (Al Isra’ 36)
Allah menjelaskan kepada kita  tentang istilah jiwa dan sifat yang terdapat pada jiwa, iaitu pendengaran, penglihatan, disamping roh juga akan diuji tentang ketakwaannya kepada Allah. Itulah sebabnya ketika Allah berfirman kepada roh-roh atau jiwa sedia untuk berbakti dan melaksanakan perintah Allah SWT. Untuk melakukan dan melaksanakan perintah tersebut maka diciptakanlah jasad, lalu Allah menjadikan Adam. Roh telah berikrar dan berjanji kepada Allah, maka untuk membuktikan dan berbuat sesuatu maka roh memerlukan tempat iaitu jasad.
Istilah batin disebut juga dalam Al Quran dengan qalbi. seandainya qalbi tersebut diterangi dengan nur maka selamatlah seseorang itu. Maka sekiranya tiada nur, gelaplah seseorang itu.  Qalbi mesti mempunyai asas yang membolehkannya selamat yang hanya Allah menentukannya. Sesungguhnya segala sesuatu yang ada dalam diri berupa nafas, akal, nafsu dan roh bila menjadi satu maka dinamakan dengan insan.
Qalbi di dalam Al Quran diistilah sebagai diri atau hati. Qalbi sebenarnya mengetahui apa yang patut dibuat dan apa yang patut dilaksanakan mengikut nilai-nilai diri itu sendiri. Firman Allah SWT maksudnya:
“Sesungguhnya berbahagialah sesiapa yang membersihkan jiwanya dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”. (As Sham, 9 - 10)

Jadi untuk merealisasikan pengertian bahawa siapa yang mengenal dirinya akan mengenali

Tuhan-nya itu, iaitu dengan cara memahami hakikat roh, jiwa atau qalbi yang sebenarnya.  Sesungguhnya untuk mencapai ke tahap yang tinggi memerlukan pengetahuan dan keyakinan yang kukuh terhadap Allah SWT. Wallhu A’lam.

Read More

Tuesday, January 05, 2010

Menegakkan Kalimah Allah

| |
0 comments
Kita umat Islam hendaklah ingat, perjuangan kita adalah untuk menegakkan
kalimah Allah. Jangan lupa keadaan ini walau di dalam keadaan susah atau
senang. Kita mesti perjuangkan kalimah Allah ini walau di dalam keadaan yang
bagaimana sekalipun. Suasana dan keadaan yang berlaku hanya seperti
perubahan-perubahan cuaca bagi bagi manusia. Yang penting manusia akan
dapat terus hidup di dalam apa bentuk cuaca sekali pun. Yang penting umat
Islam dapat hidup di dalam apa juga suasana dan keadaan sekalipun.

Sekiranya anda berada di dalam limpahan rezeki berbentuk harta dan wang
yang melimpah-limpah, jangan lupa perjuangan kita adalah perjuangan
mendaulatkan kalimah Allah. Jikalau anda berada di dalam keadaan terhimpit
dan tertekan, jangan lupaperjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah
Allah. Begitu juga kalau anda sebagai penguasa dan pemerintah di atas muka
bumi ini, jangan lupa perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah.

Perjalanan hidup merubah suasana manusia adakalanya miskin, adakalanya
kaya. Ada ketika menjadi kaum muslimin yang tertindas dan pada waktu yang
lain menjadi penguasa-penguasa alam. Perjalanan hidup ini tidak sepatutnya
mengubah cita-cita perjuangan mendaulatkan kalimah Allah. Ada orang yang
lupa dengan cita-cita mendaulatkan kalimah Allah setelah dia menjadi kaya
raya. Ada yang lupa untuk menegakkan kalimah Allah kerana sangat sempit
kehidupannya. Ada yang lupa kerana mendapatkan isteri yang cantik. Ada
orang yang meninggalkan cita-cita menegakkan kalimah Allah ini setelah
banyak diuji dengan berbagai ujian.

Kita perlu ingat bahawa seseorang Islam itu tidaklah mulia kerana dia kaya,
menjadi orang yang berharta,menjadi penguasa dan ternama. Dan tidak pula
menjadi hina kerana miskin atau dibenci atau dibuang orang keluar negerinya.
Tetapi seorang muslim itu mulia kerana jihad dan perjuangannya menegakkan
kalimah Allah.

Kekufuran tidak perlu diperjuangkan kerana ia ibarat sampah sarap atau sisa
buangan. Ia akan sentiasa ada sepanjang zaman. Tetapi Islam mesti
diperjuangkan oleh pendukungnya. Jikalau di dalam golongan kuffar, terdapat
golongan kaya, di dalam golongan muslim juga ada golongan kaya. Jikalau di
dalam golongan kuffar ada golongan muslim, golongan muslim juga ada yang
miskin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada pemimpin, di dalam golongan
Islam juga ada pemimpin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada ramai
pengikut, golongan Islam juga punyai ramai pengikut. Yang membezakan
golongan kuffar dan muslim adalah cita-citanya di dalam menegakkan ideologi
di atas muka bumi ini. Seorang muslim yang sejati ialah mereka yang sentiasa
terus menerus berjuang menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini di
dalam apa keadaan dan suasana sekalipun.

Berpegang teguh pada perjuangan menegakkan kalimah Allah inilah yang akan
mengumpulkan kita dengan ilmu, kumpul sahabat, kumpul semangat, bina
ukhuwwah dan persaudaraan, bina ekonomi dan kemajuan, bina kesedaran,
bina sistem pendidikan, bina insan dan segala-galanya. Semua itu perlu kita
laksanakan kerana hendak mencapai cita-cita mendaulatkan kalimah Allah.
Semuanya ini adalah alat untuk mencapai matlamat mendaulatkan kalimah
Allah. Mari kita bangunkan ekonomi untuk daulatkan kalimah Allah. Mari kita
kuatkan ukhwah dan persaudaraan di dalam menegakkan kalimah Allah. Mari
kita tambah ilmu, bina semangat kerana hendak menegakkan kalimah Allah.
Mari kita beri kesedaran kepada masyarakat kerana hgendak menegakkan
kalimah Allah. Pendek kata apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk
mendaulatkan hukum hakam Allah di atas muka bumi ini.

Lihatlah betapa banyaknya hukum Allah yang masih tidak dilaksanakan di atas
muka bumi ini sama ada pada diri, keluarga atau masyarakat. Siapa yang
hendak dipersalahkan dan kepada siapa hendak dipertanggung jawabkan.
Bukankah kepada kita semua ?

Ayuh ! bangun berjuang. Kalau anda tidak mahu berjuang mendaulatkan
hukum hakam Allah, besar kemungkinan akan berlaku dua perkara : Pertama
hukum-hukum thagut akan terus mengongkong anda seumur hidup atau
Kedua: Allah akan gantikan dengan golongan muslimin yang lebih baik dari
anda untuk menegakkan kalimah Allah. Mahukah anda jadi hina kerana tidak
berjuang ? Orang yang tidak mahu berjuang sama seperti lelaki yang rumahnya
dimasuki perompak dan kerana tidak berani membela dan melawan maka
anak isterinya dirogol dihadapan mata sendiri. Dia pasti tidak akan lupakan
peristiwa itu seumur hidup. Peristiwa itu pasti akan menghantui fikirannya. Dan
dia akan berkata : "Lebih baik aku mati daripada menanggung hina sebegini
rupa." Padahal jikalau dia membela anak dan isterinya diwaktu itu dan dia mati,
maka matinya adalah mati yang mulia. Demikianlah tamsil bagi seorang
muslim yang tidak mahu berjuang menegakkan kalimah Allah ketika
orang-orang yang menyeleweng telah cuba merobohkan agama Islam yang kita
cintai ini.

Sebenarnya orang muslim yang tidak mahu berjuang, tidak ada niat untuk
berjuang atau membenci perjuangan mendaulatkan kalimah Allah, lebih baik
daripada hidup. Kalau hidup pun tiada gunanya., kerana sama dengan
mayat-mayat yang bergelimpangan sahaja. Dia akan semakin reput dan
membusuk. Kereputan itu berlaku di dalam kerajaan-kerajaan Islam yang
besar-besar satu ketika dahulu kerana kerajaan itu diwariskan kepada
orang-orang yang jiwanya pengecut dan tidak mahu berjuang. Perlu diingat,
perjuang itu bukan hanya dengan slogan dan pekikan. Atau menamakan parti
kita, parti Islam. Tetapi perjuangan itu ialah berbuat kebiakan dan kebajikan
dan menegakkan hukum-hukum Tuhan di dalam diri kita, keluarga,
masyarakat dan negara. Berbuatlah, nanti Allah akan menilai, Rasul akan
merestui dan orang mukmin akan membantu.

Kini dunia Islam telah menjadi bangkai reput, telah membusuk dagingnya dan
telah tanggal tulang-tulangnya. Dia akan menjadi tanah, tempat pemakaman
sejarah dan peristiwa. Di atas pemakaman sejarah dan peristiwa inilah kita
tanam pohon-pohon Toiyyibah yang baru. Pohon-pohon Toiyyibah yang akan
diawasi oleh pejuang-pejuang muda yang gigih dan perkasa. Saya harap
andalah pejuang-pejuangnya itu. Ayuh bangunlah bersama-sama demi
menegak dan mendaulatkan kalimah Toyyibah, kalimah La ilaha illa Allah
Muhammad Rasulullah. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar Walilahilhamd.
1999 syukur.com
Read More
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Pesanan Hari Ini

“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.”

(Hadis riwayat Muslim)

“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.”

(Hadis riwayat Muslim)

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”

by Ahmad AlFateh