Tuesday, January 05, 2010

Menegakkan Kalimah Allah

| |
Kita umat Islam hendaklah ingat, perjuangan kita adalah untuk menegakkan
kalimah Allah. Jangan lupa keadaan ini walau di dalam keadaan susah atau
senang. Kita mesti perjuangkan kalimah Allah ini walau di dalam keadaan yang
bagaimana sekalipun. Suasana dan keadaan yang berlaku hanya seperti
perubahan-perubahan cuaca bagi bagi manusia. Yang penting manusia akan
dapat terus hidup di dalam apa bentuk cuaca sekali pun. Yang penting umat
Islam dapat hidup di dalam apa juga suasana dan keadaan sekalipun.

Sekiranya anda berada di dalam limpahan rezeki berbentuk harta dan wang
yang melimpah-limpah, jangan lupa perjuangan kita adalah perjuangan
mendaulatkan kalimah Allah. Jikalau anda berada di dalam keadaan terhimpit
dan tertekan, jangan lupaperjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah
Allah. Begitu juga kalau anda sebagai penguasa dan pemerintah di atas muka
bumi ini, jangan lupa perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah.

Perjalanan hidup merubah suasana manusia adakalanya miskin, adakalanya
kaya. Ada ketika menjadi kaum muslimin yang tertindas dan pada waktu yang
lain menjadi penguasa-penguasa alam. Perjalanan hidup ini tidak sepatutnya
mengubah cita-cita perjuangan mendaulatkan kalimah Allah. Ada orang yang
lupa dengan cita-cita mendaulatkan kalimah Allah setelah dia menjadi kaya
raya. Ada yang lupa untuk menegakkan kalimah Allah kerana sangat sempit
kehidupannya. Ada yang lupa kerana mendapatkan isteri yang cantik. Ada
orang yang meninggalkan cita-cita menegakkan kalimah Allah ini setelah
banyak diuji dengan berbagai ujian.

Kita perlu ingat bahawa seseorang Islam itu tidaklah mulia kerana dia kaya,
menjadi orang yang berharta,menjadi penguasa dan ternama. Dan tidak pula
menjadi hina kerana miskin atau dibenci atau dibuang orang keluar negerinya.
Tetapi seorang muslim itu mulia kerana jihad dan perjuangannya menegakkan
kalimah Allah.

Kekufuran tidak perlu diperjuangkan kerana ia ibarat sampah sarap atau sisa
buangan. Ia akan sentiasa ada sepanjang zaman. Tetapi Islam mesti
diperjuangkan oleh pendukungnya. Jikalau di dalam golongan kuffar, terdapat
golongan kaya, di dalam golongan muslim juga ada golongan kaya. Jikalau di
dalam golongan kuffar ada golongan muslim, golongan muslim juga ada yang
miskin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada pemimpin, di dalam golongan
Islam juga ada pemimpin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada ramai
pengikut, golongan Islam juga punyai ramai pengikut. Yang membezakan
golongan kuffar dan muslim adalah cita-citanya di dalam menegakkan ideologi
di atas muka bumi ini. Seorang muslim yang sejati ialah mereka yang sentiasa
terus menerus berjuang menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini di
dalam apa keadaan dan suasana sekalipun.

Berpegang teguh pada perjuangan menegakkan kalimah Allah inilah yang akan
mengumpulkan kita dengan ilmu, kumpul sahabat, kumpul semangat, bina
ukhuwwah dan persaudaraan, bina ekonomi dan kemajuan, bina kesedaran,
bina sistem pendidikan, bina insan dan segala-galanya. Semua itu perlu kita
laksanakan kerana hendak mencapai cita-cita mendaulatkan kalimah Allah.
Semuanya ini adalah alat untuk mencapai matlamat mendaulatkan kalimah
Allah. Mari kita bangunkan ekonomi untuk daulatkan kalimah Allah. Mari kita
kuatkan ukhwah dan persaudaraan di dalam menegakkan kalimah Allah. Mari
kita tambah ilmu, bina semangat kerana hendak menegakkan kalimah Allah.
Mari kita beri kesedaran kepada masyarakat kerana hgendak menegakkan
kalimah Allah. Pendek kata apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk
mendaulatkan hukum hakam Allah di atas muka bumi ini.

Lihatlah betapa banyaknya hukum Allah yang masih tidak dilaksanakan di atas
muka bumi ini sama ada pada diri, keluarga atau masyarakat. Siapa yang
hendak dipersalahkan dan kepada siapa hendak dipertanggung jawabkan.
Bukankah kepada kita semua ?

Ayuh ! bangun berjuang. Kalau anda tidak mahu berjuang mendaulatkan
hukum hakam Allah, besar kemungkinan akan berlaku dua perkara : Pertama
hukum-hukum thagut akan terus mengongkong anda seumur hidup atau
Kedua: Allah akan gantikan dengan golongan muslimin yang lebih baik dari
anda untuk menegakkan kalimah Allah. Mahukah anda jadi hina kerana tidak
berjuang ? Orang yang tidak mahu berjuang sama seperti lelaki yang rumahnya
dimasuki perompak dan kerana tidak berani membela dan melawan maka
anak isterinya dirogol dihadapan mata sendiri. Dia pasti tidak akan lupakan
peristiwa itu seumur hidup. Peristiwa itu pasti akan menghantui fikirannya. Dan
dia akan berkata : "Lebih baik aku mati daripada menanggung hina sebegini
rupa." Padahal jikalau dia membela anak dan isterinya diwaktu itu dan dia mati,
maka matinya adalah mati yang mulia. Demikianlah tamsil bagi seorang
muslim yang tidak mahu berjuang menegakkan kalimah Allah ketika
orang-orang yang menyeleweng telah cuba merobohkan agama Islam yang kita
cintai ini.

Sebenarnya orang muslim yang tidak mahu berjuang, tidak ada niat untuk
berjuang atau membenci perjuangan mendaulatkan kalimah Allah, lebih baik
daripada hidup. Kalau hidup pun tiada gunanya., kerana sama dengan
mayat-mayat yang bergelimpangan sahaja. Dia akan semakin reput dan
membusuk. Kereputan itu berlaku di dalam kerajaan-kerajaan Islam yang
besar-besar satu ketika dahulu kerana kerajaan itu diwariskan kepada
orang-orang yang jiwanya pengecut dan tidak mahu berjuang. Perlu diingat,
perjuang itu bukan hanya dengan slogan dan pekikan. Atau menamakan parti
kita, parti Islam. Tetapi perjuangan itu ialah berbuat kebiakan dan kebajikan
dan menegakkan hukum-hukum Tuhan di dalam diri kita, keluarga,
masyarakat dan negara. Berbuatlah, nanti Allah akan menilai, Rasul akan
merestui dan orang mukmin akan membantu.

Kini dunia Islam telah menjadi bangkai reput, telah membusuk dagingnya dan
telah tanggal tulang-tulangnya. Dia akan menjadi tanah, tempat pemakaman
sejarah dan peristiwa. Di atas pemakaman sejarah dan peristiwa inilah kita
tanam pohon-pohon Toiyyibah yang baru. Pohon-pohon Toiyyibah yang akan
diawasi oleh pejuang-pejuang muda yang gigih dan perkasa. Saya harap
andalah pejuang-pejuangnya itu. Ayuh bangunlah bersama-sama demi
menegak dan mendaulatkan kalimah Toyyibah, kalimah La ilaha illa Allah
Muhammad Rasulullah. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar Walilahilhamd.
1999 syukur.com

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Pesanan Hari Ini

“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.”

(Hadis riwayat Muslim)

“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.”

(Hadis riwayat Muslim)

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”

by Ahmad AlFateh